02 Julai 2009

BTN bukan punca perpecahan

KUALA LUMPUR 23 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa program yang dianjurkan oleh Biro Tata Negara (BTN) telah menyebabkan perpecahan kaum.
Perdana Menteri berkata, tidak timbul soal program BTN telah memperkecil dan memburukkan kaum bukan Melayu kerana apa yang disampaikan adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera.
''Sesi penerangan tentang hak-hak kaum lain juga dibuat dan para peserta diberikan kebebasan untuk menyatakan pandangan, idea serta pendirian masing-masing semasa mengikuti program berkenaan.
''Oleh yang demikian adalah tidak benar sama sekali dakwaan seperti yang tersiar dalam akhbar The Star bahawa BTN terlalu menekankan hak rakyat berasaskan perkauman sempit sehingga menyebabkan perpecahan antara kaum,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Koo Ham bertanyakan adakah berasas dakwaan surat pembaca yang disiarkan di dalam akhbar The Star pada 25 Mei lalu bahawa BTN telah menyebabkan perpecahan kaum.
Dalam surat itu, seorang pembaca yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Individu Yang Kesal dari Bukit Jalil mempersoalkan peranan BTN yang dikatakan tidak selaras dengan gagasan 1Malaysia apabila para peserta program diingatkan supaya tidak mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan kontrak sosial yang dipersetujui antara kaum.
Menurut Najib, fungsi dan peranan BTN sejak penubuhannya pada tahun 1981 adalah untuk memupuk semangat patriotisme, cintakan negara, nilai-nilai murni dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.
''Ia mengendalikan Program Bina Negara yang meliputi pelbagai kursus dan seminar yang dihadiri oleh para pemimpin, warga institusi pendidikan, anggota perkhidmatan awam, pemaju masyarakat, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pekerja swasta.
''Terkini, BTN juga akan menumpukan pada usaha menerapkan semangat gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,"
katanya.
Tambah Najib, sukatan untuk program BTN itu disediakan oleh golongan profesional yang mahir dalam bidang-bidang tertentu dan ia termasuk latihan sikap berteraskan nilai-nilai murni.
''Setiap maklumat yang disampaikan di dalam silibus ini adalah berasaskan pada fakta sejarah dan tidak menyentuh sentimen perkauman sempit," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan